AKU

"Aku. Mahunya menjadi yang paling baik di kalangan yang terbaik. Aku. Mahunya menjadi yang paling baik di kalangan yang terbaik. Aku. mahunya menjadi yang paling baik di kalangan yang terbaik. Ya, itu yang aku mahu. Masih lagi, itu aku" [quoted]

Sunday, April 15, 2012

The Bus



6 April 2012
Spring Camp

Hampir 6.00 pagi. Masih kosong. Walhal bas sepatutnya sudah mula bergerak setengah jam yang lalu. Terus menunggu. Penumpang yang dinanti-nanti tak jua muncul. Pasti pak cik pemandu merasa hairan yang amat sangat. Pelik. Kerana penumpang bas ini seolah-olah mahu tak mahu pergi ke destinasi yang bakal dituju.

'Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanannya tidak seberapa jauh, niscaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, "Jikalau kami sanggup niscaya kami berangkat bersamamu."  ...

Kalau saja jalan ini mudah dan singkat, pasti bas ini sudah penuh sekarang. Tapi kerana jalan ini tidak begitu. Kerana destinasi akhir jalan ini terlalu jauh. Dan perjalannya terlalu panjang dan sangat menuntut pengorbanan. Ya. Walaupun kemenangannya pasti. Tetap. Ia berat. Kerana itu bas ini masih juga lengang.

Kalau saja bas ini bas pelancongan ke Itali dan Sepanyol, pastinya bas ini sudah penuh sekarang. Dan pastinya penumpangnya telah menanti jauh lebih awal daripada bas ini tiba. Pasti juga semua penumpang tersangat teruja dan berharap bas ini tiba lebih cepat dari yang ia bisa. Tapi bas ini bukan bas pelancongan yang berhenti di tempat-tempat yang menarik di serata dunia. Dan bas ini hanya berhenti di hentian-hentian yang boleh membawa penumpangnya ke Syurga. Dan hentian itu terkadang amat buruk dan tidak langsung mengujakan. Malah jalannya ditaburi dengan onak dan duri. Ya. Walaupun destinasi akhirnya Syurga. Yang  indah dan niannya tak tercapai dan tak terjangkau bayangan mata. Tetap. Ia berat. Kerana itu bas ini masih juga lengang.

Terus menanti. Seorang. Dua orang. Tiga. Seorang demi seorang datang. Aneh. Ada yang ceria. Tak kurang yang muram penuh durja. Kalau saja jalan ini mudah dan singkat dan bas ini adalah bas pelancongan ke Itali dan Sepanyol, pastinya bas ini sudah penuh sekarang. Tapi kerana bas ini bukan begitu. Kerana bas ini membawa hati dan bukannya hawa. Maka, penumpangnya tidak seghairah penumpang bas-bas lain. Berbeza. Kerana mereka adalah penumpang yang hatinya sedang disucikan Dia. Yang hatinya sedang disemai dengan ikhlas dan ihsan, disirami dengan cekal dan tekad, dibajai dengan jihad dan iktikad. Yang hatinya sedang berjuang mengimani 9:41 dan diasak dengan 9:24. Yang hatinya sedang direbut oleh dua tarikan; antara Tuhan yang Mencipta dan syaitan yang mendusta. Kerana pemilik hati-hati ini sedang berusaha, mencari makna sebenar kehidupan. Maka langkah yang terhasil pun lambat-lambat dan terasa berat yang amat sangat. Ya. Walaupun habuannya adalah bahagia selama-lamanya.  Tetap. Ia berat. Kerana itu bas ini masih juga lengang.  

Kerana itu seorang ulama dakwah telah berkata,

'mengalirlah bersama amal-amal ini niscaya ia akan mengalirkan dirimu'.
(Amal Tak Pernah Usai)

Kerana bas itu akan terus berjalan. Tetap. Ia akan terus meluncur di atas jalan itu. Ya. Jalan yang sukar dan panjang itu. Tapi masih. Penumpang-penumpang ini akan tetap dan takkan pernah lepas untuk terus menanti. Dan terus menanti. Hingga kalau boleh akan turun semula dan menarik tangan manusia yang lain untuk menaiki bas itu. Dan bersama menjadi penumpang yang setia. Itu impian kami, penumpang yang lemah dan tak terlepas dari ujian iman. Itu tekad kami. Selagi kami berdaya. InsyaAllah. Kerana sesungguhnya, gerabak ini adalah gerabak KITA bersama. 

Moga Allah redha.


Hamba 



p/s: 
sambungan ayat 9:42. 
"...Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta." 
Tak tertulis. Berat. Pasti (harap) kita tidak termasuk dalam golongan orang yang berdusta. Amin.

No comments:

Post a Comment